Friday, August 29, 2008

Ramadhan & Kita..

[1] Penuh Kebaikan

Rumah pada setiap keadaan khususnya di bulan Ramadhan sepatutnya dipenuhi dengan kebaikan. Semua ahli berlumba-lumba untuk melakukannya. Salafussoleh pernah berkata: “Jika kamu mampu, pastikan jangan ada yang mendahului kamu dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah.” Malah Allah sendiri berfirman di dalam al Quran yang bermaksud: “Berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan.” FirmanNya lagi: “Orang yang saling berlumba-lumba (dalam kebaikan), maka mereka itulah orang-orang yang hampir kedudukannya (di sisi Allah). Alangkah indahnya jika setiap rumah menyusun pertandingan dalam melakukan kebaikan sesama ahli keluarga; tidak kira pada aspek perilaku ataupun akhlak, sedekah, tilawah al Quran dan juga ibadat-ibadat yang lain.

[2] Al Quran Sering Berkumandang

Al Quran dan Ramadhan sentiasa berkait rapat. Malaikat Jibrail a.s. sendiri akan bertadarus dengan baginda s.a.w .setiap hari di bulan Ramadhan. Pada tahun kewafatannya, baginda s.a.w .telah bertadarus bersama Malaikat Jibrail as sebanyak dua kali sepanjang tempoh Ramadhan. Justeru alangkah baiknya kalau diadakan majlis-majlis doa dan juga ibtihal bersama al Quran. Diriwayatkan bagaimana Anas ra apabila telah khatam al Quran, maka dia akan menghimpunkan semua ahli keluarganya untuk sama-sama berdoa.

[3] Dipenuhi Unsur Kerohanian

Rumah di bulan Ramadhan seumpama bunga yang mengeluarkan bau yang cukup harum. Ia seakan cahaya yg menerangi setiap bahagiannya. Semua anggota di dalamnya akan berkumpul pada waktu sahur dan juga berbuka. Ketika itu semuanya saling menghayati erti keimanan. Ia menjadi semakin indah apabila diserikan lagi dengan majlis berbuka bersama dengan sanak saudara, rakan sekerja dan juga jiran tetangga. Perkara ini pastinya akan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang, menerbitkan keceriaan, malah menyuburkan suasana keimanan.

[4] Penuh Kesedaran

Rumah yang mempunyai sifat ini pastinya akan berhati-hati sewaktu memilih terutamanya bahan-bahan dari media-massa. Neraca ukur mereka ialah sejauh manakah sesuatu perkara itu dapat melahirkan takwa kepada anggotanya. Ini tentunya bertepatan dengan nilai takwa yang menjadi antara objektif terbesar di sebalik ibadah puasa. Mereka cukup bimbang kalau-kalau perbuatan mereka itu akan merosakkan bulan yang penuh barakah ini sebagaimana yang disebut oleh Umar ra: “Puasa itu bukan sekadar menahan dari minum dan makan semata-mata, akan tetapi ia juga adalah menahan diri dari berdusta, melakukan kebatilan dan juga perkara yang sia-sia (lagho).”

Berikut adalah beberapa kebiasaan yang sepatutnya dikikis pada bulan yang mulia ini:
• Membuang masa-Sepatutnya tidak ada masa untuk melakukan perkara sia-sia. Baginda s.a.w .bersabda yang bermaksud: “Rugilah mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Dan rugilah orang yang bangun malam (mengerjakan solat), tetapi hanya mendapat letih dan berjaga malam sahaja.”
• Banyak Tidur-Puasa sepatutnya mengajar kita kurang tidur. Puasa bukan sahaja mengajar kita berlapar, malah mendidik kita supaya bangun malam (qiamullail), bangun sahur di waktu dinihari, menunaikan solat Subuh berjamaah, berzikir sehingga terbit matahari dan menunaikan solat Dhuha sebelum pergi ke tempat kerja.
• Kekenyangan-Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu berpuasa, maka ia lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.” Imam al Ghazali pernah berkata: “Puasa itu adalah penyuci jiwa dan riadhah kepada jasad. Perut yang lapar akan membuatkan hati bersih, membakar sikap disamping menajamkan lagi penglihatan. Sementara kekenyangan itu hanya akan menyebabkan dungu serta membutakan penglihatan.”

[5] Indahnya Malam

Alangkah indahnya kalau semua ahli keluarga dapat menghidupkan malam itu sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda saw, ahli keluarga dan para sahabatnya:.
Mereka menghidupkan malam dengan ketaatan kepada Tuhan (juga) dengan membaca Quran, bermunajat serta berdoa dengan penuh harap

[6] Menjelang Sepuluh Malam Terakhir

Peluang keemasan yang sepatutnya tidak dipersiakan. Daripada Aisyah ra berkata: Baginda s.a.w .telah bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan, maka baginda akan mengikat kainnya (gambaran keadaan siap-siaga), menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya.” Di dalam riwayat Muslim disebutkan bahawa: Rasulullah s.a.w .bersungguh-sungguh pada 10 hari yang terakhir melebihi dari yang dilakukan pada hari-hari yang lain.”

[7] Lailatul Qadar

Bagi orang Islam ia merupakan malam yang penuh dengan kemuliaan, kebesaran dan ganjaran yang berlipat kali ganda iaitu menyamai 1000 bulan atau 83 tahun! Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al Quran) ini pada malam Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadr? Malam Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun Malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al Qadr: 1- 5) Daripada Abu Hurairah ra meriwayatkan hadis bermaksud: “Sesiapa menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan (ganjaranNya), maka baginya keampunan dosa-dosanya yang lalu.” Baginda s.a.w .juga bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatul Qadr pada 10 hari yang terakhir (daripada bulan Ramadhan).” Aisyah berkata kepada baginda saw: “Kalaulah aku diberi peluang menemui Malam Lailatul Qadr, maka apakah yang aku perlu aku katakan? Baginda menjawab: “Katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah dosa-dosaku.”

TAHUKAH ANDA?

Disamping menjadi bulan Ibadat dan membanyakkan taqarrub kepada Allah, ia juga adalah bulan jihad dan bulan kemenangan kepada umat Islam seperti yang tercatat indah di lembaran sejarah.
Antaranya ialah: PEPERANGAN DAN TARIKH
1. Badar Kubra, berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah
2. Fathu Mekah, berlaku pada 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah.
3.Peperangan Al Qadisiyah berlaku pada tahun 15 Hijrah
4. Pembukaan Andalus berlaku pada tahun 92 Hijrah
5. Peperangan Ain Jalut berlaku pada 658 Hijrah
6. Pembebasan Sinai dari cengkaman Yahudi berlaku pada 10 Ramadhan tahun 1393 Hijrah

Ramadhan yang penuh barakah sangat hampir kita tempuhi..kita harus bersiap menjadi hamba yang layak dimuliakan Allah..Bersihakn diri,bertaubatlah,dan mintalah maaf kepada orang tua dan orang-orang yang pernah kita sakiti,baik disengaja ataupun tidak..Segera bersihkan diri dari harta yang tidak halal dan bukan milik kita..Sambutlah bulan suci ini dengan kesucian peribadi, fikiran dan hati..

Wallahua`lam..

No comments: